Sunday, July 4, 2010

Tingkat Keusahawanan


Semua Usahawan bukanlah berada pada tingkat yang sama. Malah, bagi saya, perkataan 'Usahawan' bukanlah boleh digunakan oleh semua orang. Dalam sistem Business Coaching ActionCOACH, ada 6 Tingkat Keusahawanan yang perlu dilalui oleh seseorang yang berhasrat untuj menjadi Usahawan.

Tingkat 1: Pekerja (Employee)
Kebanyakan usahawan bermula sebagai seorang pekerja. Ada 2 sebab mengapa Usahawan perlu bermula sebagai seorang pekerja. Sebab yang pertama ialah untuk mengumpul dana atau kapital. Sebab yang kedua ialah untuk menjadi Aprentis atau belajar. Usahawan yang berjaya akan menggunakan peluang sebagai pekerja sebaik mungkin, belajar tentang pengurusan, pembinaan sistem, interaksi dengan orang lain, dan banyak lagi pembelajaran yang boleh didapati, selain dari belajar tentang perniagaan itu sendiri.

Tingkat 2: Bekerja Sendiri (Self Employed)
Usahawan bermula dengan pekerja pertama, iaitu dirinya sendiri. Pada peringkat ini, Usahawan terpaksa mengurus dan bertanggunjawab ke atas semua perkara, dari pemasaran dan penjualan, pengurusan kewangan, melayan pelanggan, pembuatan, dan sebagainya. Tanpa kerja, maka tiadalah hasil. Kebanyakan Usahawan gagal pada peringkat ini kerana cabaran yang perlu dilalui amatlah perit.

Tingkat 3: Pengurus (Manager)
Setelah beberapa lama, perniagaan pun sudah menunjukkan hasil dan keuntungan, Usahawan mula mencari pekerja untuk membantu dan mengambil alih sebahagian tugasan yang dipikul oleh usahawan berkenaan. Pada peringkat ini, Usahawan perlu menumpukan perhatian kepada pembinaan sistem asas agar pemantauan ke atas pekerja dapat dilakukan.

Tingkat 4: Pemilik Perniagaan (Business Owner)
Apabila perniagaan sudah berkembang, Usahawan sudah mempunyai beberapa cawangan, Usahawan sudah mampu untuk mendapatkan seorang pekerja yang diberi gaji sebagai Pengurus untuk mentadbir dan menguruskan perniagaan secara amnya. Tugas Usahawan pada masa ini ialah memantau perjalanan perniagaan dengan menggunakan KPI-KPI tertentu. Usahawan tidak perlu berada dalam perniagaan, tetapi fokus kepada perancangan dan pembesaran perniagaan.

Tingkat 5: Pelabur (Investor)
Setelah mempunyai beberapa cawangan, Usahawan sudah memperolehi keuntungan dan 'passive income' dari perniagaan. Usahawan, sebagai pelabur, akan mencari peluang-peluang dimana beliau boleh melaburkan hasil keuntungan dari perniagaan kepada peluang-peluang yang lain.

Tingkat 6: Usahawan (Entrepreneur)
Ini adalah Usahawan yang sebenarnya. Mereka mempunyai pemahaman yang mendalam tentang perniagaan dan mereka boleh menceburi apa saja bidang perniagaan dan boleh berjaya dengan cemerlang. Mereka mempunyai 'sentuhan ajaib' dan boleh mewujudkan peluang, bukan lagi mencari peluang. Usahawan pada tingkat ini mempunyai minda yang kuat dan boelh bersaing dengan sesiapa saja, di mana sahaja.

Persoalannya, di Tingkat Manakah kedudukan kita sebagai seorang 'Usahawan'?

Coach Lizam
Nota: 6 Tingkat Keusahawan adalah sebahagian dari material ActionCOACH Business Coaching.

No comments:

Post a Comment